Jumaat, 20 Mei 2011

Harmoni Dalam Karya Seni




Guru-guru dan pelajar sekalian,

Cikgu mula mengajar subjek Seni Visual sejak 2002 setelah ditaklimatkan oleh Jurulatih Utama Seni Visual N9, Hj. Shamsir Md. Zain. Selepas itu cikgu tidak lagi menoleh ke belakang, merasa teruja menghasilkan idea-idea untuk kerja kursus.

Kerja Kursus STPM sangat berbeza dengan SPM dari segi penghasilan. Soalan kerja kursus STPM lebih terbuka dan umum. Hanya diberi tema, bermakna setiap karya pelajar adalah berbeza-beza dari segi teknik penghasilan walaupun menjawab soalan yang sama. Para pelajar perlu membuat penyelidikan dan eksperimentasi di dalam folio sebelum menghasilkan Karya Akhir.


Dalam konteks soalan 1 tahun 2011 bertema Keharmonian, cikgu dapati terdapat beberapa percanggahan pendapat mengenai perkataan Keharmonian ini. Terdapat rakan-rakan guru dan pelajar yang menganggap, PRINSIP REKAAN Harmoni perlu diaplikasi sepenuhnya bermaksud, jika terdapat prinsip kontra, atau kepelbagaian maka Karya tersebut dianggap menyalahi kehendak soalan.

Pada pendapat cikgu, tema Keharmonian dalam catan bukanlah merujuk Prinsip Rekaan Harmoni semata-mata. Prinsip Rekaan Harmoni hanyalah merupakan salah satu daripada prinsip rekaan yang diaplikasi di dalam catan atau karya-karya yang lain. Di dalam catan boleh ada lebih daripada satu prinsip rekaan.


Sebagai contoh, karya di atas tidak dapat disangkal lagi telah berjaya menimbulkan perasaan 'keharmonian' kepada penonton. Kenapa? Karya di atas telah mengaplikasi prinsip rekaan harmoni dalam karya dengan memasukkan rupa/corak yang berulang-ulang. Penggunaan warna penggenap dalam karya telah di'harmoni'kan dengan persamaan 'hue' atau nilai warna.

Tetapi apakah hanya ada prinsip harmoni di dalam karya ini? Tentu sekali anda nampak adanya kontra garisan lurus dan garisan melengkung, garisan tebal dan garisan nipis, rupa bulat dan rupa bersegi. Juga warna-warna penggenap wujud di situ (tetapi warna harmoni wujud bila digunakan warna ketiga/'tertiary').

Begitu juga, teknik 'hard-edge' di dalam soalan telah dimengertikan sebagai 'Aliran Hard-Edge' di Barat. Teknik Hard-Edge merujuk kepada teknik catan menggunakan masking tape atau gam khas yang dapat memberi kesan 'sharp', kemas dan tanpa ton warna (sesuai untukmewarna Rupa Geometri). Ianya berbeza daripada teknik 'scumbling' atau 'glazing' yang dapat menimbulkan ton warna secara realistik.

Tetapi, jika di dalam karya yang berteraskan Rupa Geometri mengandungi juga rupa organik , adakah telah menyalahi kehendak soalan?


Dalam penulisan cikgu yang lalu, cikgu telah mengangkat Mastura Abdul Rahman sebagai artis Aliran Hard-Edges dari Malaysia. Berbeza dengan artis dari Barat yang menghasilkan karya-karya hard-edges di bawah aliran abstract expressionist (tidak ada pengisian maksud tertentu dalam penghasilan karya), Mastura memasukkan elemen-elemen Melayu dan nusantara di dalam karya-karya beliau. Karya beliau di atas bertajuk ' Harmonious Interior no.18' telah dihasilkan pada tahun 1986/1987 .

Sesuai dengan tajuknya, Mastura telah berjaya menimbulkan kesan harmoni di dalam karya beliau. Tetapi, bagaimana kita tahu karya ini harmoni hanya dengan sekali pandang sahaja? Iaitu, beliau mewujudkan prinsip harmoni di dalam karya dengan mengulang-ulang motif dan corak di dalam karya. Anda perasan tak rupa-rupa geometri terhasil dengan sendirinya (daripada komposisi ruang dalam senibina rumah melayu yang menjadi 'subject matter' Mastura) ? Tiang-tiang juga dalam konteks catan ini, merupakan rupa-rupa geometri kerana bentuk (form) tiang terhasil daripada nilai warna sewarna pada rupa tiang tersebut. Dan tentu sekali beliau menggunakan teknik 'hard-edges' bagi mendapatkan kesan 'sharp' dan kemas pada rupa tiang tersebut. Rupa geometri juga terhasil pada motif tikar berwarna biru di bahagian atas catan. Motif sofa di sudut kiri bawah catan dan tempayan di bhgn atas catan juga dihasilkan dalam btk Rupa Geometri.

Ruang di dalam karya ini dihasilkan secara ekspresif. Semasa di Tingkatan 1-5, anda hanya mengenal Ruang Rata, Ruang Cetek dan Ruang Dalam tetapi karya ini merupakan Ruang Ekspresif. Ruang ekspresif biasa wujud di dalam karya-karya terkenal seperti karya 'Harmony in Red' oleh Henri Matisse. (rujuk gambar di bawah).

Kecuali Rupa Tipografi yang tidak ada di dalam catan dan juga motif organik yang memenuhi ruang , cikgu dah anggap karya ini telah menepati soalan no. 1 tema Keharmonian. Mungkin karya beliau di bawah ini menjelaskan Rupa Geometri dalam karya.


Title: Rumahku Duniaku
Mixed media on canvas
Year: 1999
Size: 8' X 8' (2 panels)

Nota: Sumber gambar-gambar karya Mastura Abdul Rahman di dalam entri ini adalah daripada pelukis sendiri. Terima kasih)

'Harmony in Red'
Henri Matisse

Karya di atas bertajuk Harmony in Red oleh Henri Matisse juga mengaplikasi prinsip kontra di antara rupa geometri (tingkap dan kerusi) dengan rupa organik (corak dan figura). Walaupun hampir keseluruhan karya berwarna merah menepati tajuk karya, warna-warna kontra juga diaplikasi dalam karya.


Sebagai bacaan tambahan untuk mengukuhkan pendapat cikgu ini, silalah ke
http://www.artapprenticeonline.com/artstudies/learnctr/artisticprin/edlearnctraphar.html

Tiada ulasan: